RENTETAN PERISTIWA PEMERGIAN BABA KU...
Rabu, 6 Oktober 2010, jam 4 petang
Aku sedang sibuk dengan kerja-kerja di ofis. menanda tugasan dan kuiz pelajar yang perlu disiapkan secepat mungkin untuk diberi markah. Telefon berbunyi. Aku lihat di skrin tertera nama Alang, kakak ku. Alang cakap baba sakit tenat di hospital. sepatutnya baba keluar hospital hari tu. tapi bila sorong baba turun lif, baba terlentok kat kerusi roda. baba lemah sangat. baba pengsan. alang dan along menyorong baba semula ke wad. kemudian doktor mengarahkan semua nurse-nurse cepat bertindak. suasana pada petang tu jadi kelam kabut. doktor cakap jantung baba bedenyut pelahan. doktor suruh panggil semua anak-anak dan saudara mara untuk melawat baba. pesakit dan pelawat semua melihat kejadian tu. memang masa tu ramai yang fikir baba dah takde harapan lagi.
dengan segera alang menelefon semua adik beradik kami, termasuklah aku. baha terus amik aku dari melaka. kami sampai jam 1.30 pagi. terus kami ke hospital. aku tengok baba dalam lampu yang malap, belum tidur. mungkin menantikan kehadiran kami. sebak tengok baba masa tu. baba dah tak boleh bercakap. gerakan hanyalah pada tangan kiri sahaja. bahagian badan yang lain dah lumpuh. baba terbaring atas katil ditemani along dan angah. aku dan baha salam tangan baba. baba masih lagi kenal pada kami. baba tak lupa. cuma yang membataskan hanyalah pergerakkannya.
malam tu along dan angah yang jaga baba. along suruh aku dan baha balik sebab baha kerja pagi keesokkan harinya. setelah lebih kurang sejam. aku mengundurkan diri. baba masih lagi berjaga. sempat aku mencium tangan baba sebelum balik.
Khamis, 7 Oktober 2010, jam 11 pagi.
Aku drive sendiri ke hospital untuk melawat baba. masa tu along dan angah yang jaga baba. aku dan kak teh ganti jaga baba. along dan angah balik untuk mandi dan berehat. baba macam biasa tak pernah lelap. kejap jaga kejap bangun. kadang-kadang baba mengerang. seolah-olah ingin memberitahu sesuatu. aku tak faham tutur katanya. aku suruh baba tidur. aku tepuk2 badannya umpama anak kecil yang sedang ditidurkan. lama baba terlelap. mungkin lebih lena berbanding malam tadi.
tempat baba betul-betul berhampiran kaunter. bilik tu bilik untuk mereka yang sedang dalam pemerhatian. selang setiap 2 jam, nurse datang untuk check level gula dalam darah baba. jari baba tak tahu la berapa kali kena cucuk semenjak masuk wad hari tu. mungkin baba dah lali. kandungan gula dalam darah baba tak menentu. kadang-kadang 11 kadang-kadang 17.
aku balik ke rumah untuk berehat pada petang tu.
malam tu giliran aku untuk jaga baba. along, abg long, alang, abg ramli dan baha tinggalkan aku sorang-sorang untuk temankan baba malam tu. aku jaga baba sorang-sorang. malam tu baba tak nyenyak tidur. baba selalu mengerang. aku cuba fahami baba, tapi tak boleh. tangan kiri baba menunjukkan isyarat menulis. mungkin baba nak menulis sesuatu. aku beri baba pen dan surat kabar. yang hanya mampu baba tulis hanyalah contengan sahaja. baba tak berdaya menulis seperti orang sihat. aku tak tahu apa yang cuba baba sampaikan. kadang-kadang baba tengok arah ke tingkap. mungkin baba nampak arwah mak. malam tu malam jumaat. mungkin arwah mak ada melawat baba. aku tak tahu. sepanjang malam aku tak tidur. bila baba pula nyenyak tidur, nurse datang kejutkan baba sebab nak amik level gula dalam darah baba. kesian baba. baba kena serangan angin ahmar beberapa kali selain penyakit kening manis. sebab tu la baba tak dapat bergerak, tak dapat bercakap. fikiran pun jadi lemah sangat
Jumaat, 8 Oktober 2010
jam menunjukkan pukul 6 pagi. aku bagi tahu baba aku nak ke surau untuk solat subuh. selesai solat aku tengok nurse2 pelatih shift pagi dah semakin ramai. semua datang untuk menyiapkan katil2 pesakit. aku mintak nurse tu tukar baju baba, cadar dan selimut. sempat juga tengok cara yang mudah untuk tukarkan baju dan cadar untuk pesakit yang lumpuh.
jam 7.30 pagi along bergegas datang. along gantikan aku. along datang bawa jam tangan baba yang baba beli dengan arwah mak di Mekah masa menunaikan haji beberapa tahun yang lepas. patutlah masa malam aku jaga baba, baba asik pandang je jam tangan aku. aku ingatkan baba nak tanya pukul berapa sekarang.
aku balik untuk mandi dan berehat. petang tu aku melawat baba semula dengan alang. petang tu baba tunjukkan isyarat menulis macam malam tadi. aku bagi pen dan surat khabar lagi. angah lak cuba tuliskan huruf A,B,C sampai Z supaya baba dapat pilih huruf mana yang baba nak cuba cakapkan tu. tapi baba tak berdaya. kami sekeluarga putus asa untuk cuba fahami kata-kata baba. mak lang, makcik pun datang melawat baba petang tu. aku dan angah hanya temankan baba sampai isyak. along datang gantikan kami malam tu.
Sabtu, 9 Oktober 2010, tengahari
doktor benarkan baba pulang. mungkin keadaan baba yang tak stabil tu menyebabkan doktor putus asa. along, abg ramli dan anak-anak buah ku yang lelaki datang untuk menjemput baba. baba di usung dengan kerusi roda sampai ke kereta. kemudian bila sampai ke rumah. baba diangkat beramai-ramai untuk ke katil. baba tak boleh bergerak. baba terlantar kat katil je. sayu sangat aku tengok baba. kami jaga baba umpama bayi yang baru lahir. jam ditangan kiri masih lagi melekat kemas di tangan baba. tangan kanan baba bengkak. mungkin sebab strok dan banyak kali jatuh sebelum ni. petang tu aku, angah dan kakteh lapkan badan baba dengan air sabun, tukar pampers baba, pakaikan baju dan bedak. dah seminggu baba tak buang air besar. kami hairan macam mana bubur yang baba makan tu dicernakan. along suapkan baba bubur. ubat pun terpaksa dihancurkan supaya baba senang nak telan.
Ahad, 10 Oktober 2010.
kami adik beradik yang duduk jauh balik ke tempat masing-masing. syukur masih ada alang dan along yang setia menemani baba di rumah.
saat itu aku lihat air mata baba menitis. sebak hati ku melihat keadaan baba. walaupun baba tak dapat bersuara, aku faham apa yang baba cuba sampaikan. aku tahu baba bersedih. aku tahu baba tak nak aku pergi. aku mengucup dahi baba buat kali terakhir. itulah kali terakhir aku melihat wajah baba. wajah tua yang sangat uzur. aku tak sanggup melihat penderitaan baba. aku tak sanggup lihat baba terlantar di katil.
Isnin, 11 Oktober 2010
aku tak sempat menelefon rumah bertanya khabar baba. kak teh ada telefon alang. alang cakap tangan baba bengkak, baba semakin tenat.
Selasa, 12 Oktober 2010
aku telefon alang bertanya khabar baba. alang cakap sedekahkan suruh Yassin pada baba. banyak-banyakkan berdoa. alang cakap baba dah semakin teruk. sakit tu hanya baba saja yang tahu. alang cakap sedara mara semua ada datang hari ni. mak lang, makcik, busu...semua ada ziarah baba. busu yang suruh adik beradik dia datang ziarah. busu ada mimpi arwah mak panggil baba malam tu. terus busu balik melaka dari johor. aku hanya berdoa agar segalanya dipermudahkan.
Rabu, 13 Oktober 2010, jam 4 petang
Hari dan waktu yang sama minggu lepas alang telefon suruh balik sebab baba sakit. hari ni pun sama. alang telefon. alang kata " adik, banyak2 bersabar ye. baba dah takde. baru je." aku terdiam. sebak hati ini. terkejut. semuanya bercelaru. aku tak tahu apa yang aku rasa time tu. nak menangis, air mata tak keluar. aku telefon alang semula tanya bila waktu kebumi. alang cakap alang tak tahu lagi sebab baru je meninggal. kat rumah semua tgh sibuk2 uruskan jenazah baba.
aku telefon baha bagi tahu tentang kematian baba. baha terperanjat. baha sebenarnya baru je sampai melaka dari pahang. dia patah balik untuk jemput aku. petang tu aku drive dulu. bila tiba triang, baha tunggu aku kat sana. dia drive kereta sambil memasang lampu hazard. kecut perut perut aku dia bawak kereta. takpe la asalkan dapat tengok wajah baba kali terakhir.
jam menunjukkan 8.30 malam kami masih lagi belum sampai. abg long cakap baba kebumi lepas isyak. abg long tanya dah sampai mana. abg long cakap baba dah nak dibawa ke masjid untuk solat jenazah. " kau nak tengok baba tak?" abg long tanya. "nak". itu je yang mampu aku ucapkan sebab saat tu sebak sgt. aku fikir aku dah tak dapat nak tengok wajah baba, sama macam wajah arwah mak pergi dulu. belum sempat aku tengok, mak dah dikebumikan. aku tak nak perkara sama berulang kembali.
bila baha dapat tahu baba nak dibawa ke masjid, terus baha memecut lagi laju. alhamdulillah kami selamat sampai jam 9.15 malam. masa aku jalan ke arah rumah, ramai yang datang ziarah. masa tu aku tak tau apa yang ada dalam fikiran ni. kepala berpusing. aku hampir-hampir pitam. aku tak nampak orang, cuma yang aku nampak pintu rumah je. aku tak sabar nak masuk tengok baba kali terakhir. tangisan mula kedengaran saat aku menapak masuk. kakak-kakak aku menangis. masa tu muka baba dah ditutup dengan kain batik lepas. angah bukakan kain batik yang menutupi wajah baba. dengan tidak semena-mena tangisan yang aku tahan dari petang tadi mengalir laju. menggigil badan aku menahan tangisan. hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saat itu. aku terus mengucup kedua pipi dan dahi baba. aku pegang tangan baba. keras. wajah baba bersih, putih.
kemudian baba dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. kami sekeluarga menunggu jenazah didepan rumah untuk dibawa ke kubur.
baba ditanam betul-betul sebelah kubur arwah mak. aku nampak papan yang menutupi jenazah mak selama 7 tahun tu masih bersih dan tak reput. Alhamdulillah. bila melihat papan tu, aku tahu jasad mak masih elok. penggali kubur ada bagi tahu abg ipar aku, abg ramli sama ada nak tengok jasad mak atau tak. sebab memang kubur baba digali betul terkena papan kubur mak. penggali kubur tu cakap dia tak sengaja tertengok mak, sebab papan mak jatuh masa dia menggali kubur baba. abg ramli tak nak tengok. penggali tu takkan tanya samada nak tengok atau tak kalau jasad mak dah tak elok. aku tahu mak ditempat di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. sepanjang hayat mak, mak seorang yang penyabar dengan baba yang sangat tegas. Allah dah menjanjikan bahawa seorang isteri mudah masuk syurga jika dia melaksanakan 3 perkara. solat, puasa dan taat pada suaminya.
saat baba dimasukkan ke dalam kubur, wajahnya dibuka dan diciumkan ke tanah. jasad baba ditahan dengan daun-daun pokok supaya masih dalam keadaan mengiring. papan diletakkan menutupi baba. lalu tanah ditimbus. itulah saat-saat terakhir jasad baba dalam pandangan mata aku. baba pergi meninggalkan kami 7 beradik. meninggalkan aku anak bongsunya. meninggalkan semua. air mata tak tertahan lagi. yang hanya aku mampu waktu itu, Al-Fatihah ku sedekahkan untuk baba.
ramai yang bersama-sama menolong mengebumikan baba. aku tengok kubur baba tinggi, tapi tanah masih lagi banyak disekitar kubur baba. kalau tanah banyak lebih, mungkin rumah baba di bawah sana pun luas. Insyallah...sepanjang hayat baba, tak pernah dia meninggalkan solat. baba selalu bersedekah. cuma apabila sakit dan terlantar, baba tak dapat mendirikan solat. kami adik beradik solat dari kecil disebabkan baba sangat tegas tentang solat. baba marah kalau anak2 dia tak solat.
pernah suatu waktu dahulu masa aku sekolah tadika, baba hambat aku dengan ranting pokok mangga sebab melambatkan waktu solat. masih segar lagi waktu tu. aku marah sangat pada baba sebab buat aku macam tu dulu. tapi aku tahu niat dia baik untuk bentuk kami adik beradik. dan Alhamdulillah kami menjaga solat hingga sekarang atas didikan tegas baba.kenangan dengan baba masih segar.
"Ya Allah, ya Tuhan ku, Kau tempatkanlah bapa ku Hj Hassan Bin Hj Abdullah dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Kau hindarilah bapaku dari siksaan kubur, Kau tempatkan bapaku di dalam SyurgaMu, pertemukanlah bapaku dengan ibuku. cucurilah rahmat ke atas Roh mereka.Amin Amin Ya Rabal'alamin" Al- Fatihah
Ulasan
Catat Ulasan
hi..hantar la kumen..jgn malu2 k.. :-) i won't bite